Panel Tentukan Harga Telefon Mudah Alih Pintar Diwujudkan - Rais

KUALA LUMPUR: Sebuah panel khas diwujudkan bagi menentukan nisbah harga telefon mudah alih pintar bagi mengelak penjual mengaut keuntungan secara berlebihan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatimberkata, panel itu, yang dianggotai syarikat telekomunikasi dan SuruhanjayaKomunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan menentukan serta mengambil tindakan sepatutnya terhadap pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan.

"Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan juga akan memantau bersama panel itu untuk mengawal harga telefon mudah alih pintar itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai rebat RM200 yang ditawarkan kepada belia.

Rais ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pertandingan Badminton Persahabatan D'SURY dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Dewan Badminton, Istana Negara lama di sini.

Jemaah Menteri bersetuju untuk memansuhkan had maksimum RM500 bagi pembelian telefon pintar 3G di bawah Pakej Komunikasi Belia yang bermula pada 2 Januari.

Sebelum ini, antara syarat bagi membolehkan belia berumur 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan kasar di bawah RM3,000 ialah mereka hanya dibenarkan untuk membeli telefon pintar yang berharga di bawah RM500 sahaja (sebelum rebat).

Rais berkata, langkah ini bertujuan memberi keadilan kepada semua pihak dan berharap bilangan belia yang mendaftar untuk mendapatkan rebat itu yang bermula sejak 1 Januari lalu akan meningkat menjelang tempoh tamat pendaftaran pada 31 Januari.

"Setakat ini, lebih 10,000 belia telah mendaftar untuk membeli dan KPKK mengharapkan bilangan meningkat dalam tempoh yang singkat, bergantung kepadakemampuan dan keperluan masing-masing," katanya.

Ketika ditanya mengapa golongan belia perlu mendaftar secara dalam talian, Rais berkata:

"Apa salahnya dengan pendaftaran. Ini satu daripada cara pihak berkuasa mengumpul semak data dan memaklumkan kepada industri telekomunikasi, mengenai berapa orang yang ingin membeli dan memenuhi permintaan pasaran. Ini bukanlah sesuatu yang kami lakukan untuk merumitkan keadaan."

Rais berkata, sekiranya golongan belia ingin menyuarakan pendapat atau pertanyaan lanjut, mereka boleh menghubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dan juga menerusi laman web SKMM. - BERNAMA


Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger