DS Zahid Hamidi Mahu ROS Siasat Pemilihan DAP

BAGAN DATOH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pendaftar Pertubuhan (RoS) melakukan siasatan berhubung isu pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bulan lepas.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, hanya RoS yang boleh menyiasat perkara itu.

"Dan jika didapati ketelusan tidak ada maka mungkin RoS boleh mengeluarkan kenyataan terhadap hasil siasatan itu.

"Itu terpulang kepada RoS untuk mengharamkan DAP atau tidak," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan 1 Ihsan Samudera Bagan Datoh kepada 876 nelayan di sini, hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Disember tahun lalu dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini berada pada kedudukan 20.

Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Ahmad Zahid mendakwa alasan DAP kononnya berlaku kesilapan dalam pengiraan undi itu adalah bagi membolehkan mereka meletakkan Zairil sebagai wakil Melayu dalam CEC.

"Maka mereka menyusun strategi yang kononnya kiraan undi itu salah selepas tiga minggu (pemilihan). Ini memperlihatkan mereka tidak telus.

"Tetapi kalau pengundian itu dibuat selepas sehari atau dua (hari) mungkin munasabah tetapi apabila media memberikan komen maka mereka cuba untuk mengelirukan keadaan kononnya mengira semula undi," katanya. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger