Generasi Muda Jangan Terpengaruh Dengan Dakyah Pembangkang! - Tun M

GENERASI muda hari ini harus bijak membuat penilaian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang 55 tahun mentadbir negara, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Beliau berkata, generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan dan maju telah menganggap kemajuan negara adalah satu perkara yang biasa dan mereka juga tidak bersyukur dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang sudah hampir 67 tahun menceburi bidang politik khuatir golongan muda yang kurang pengalaman mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ada pula yang kata mahu tukar kerajaan kerana sudah diperintah BN selama 55 tahun. Ini sesuatu yang merbahaya dan kalau memberi kuasa kepada orang yang tidak baik, ia boleh merosakkan negara kita dalam jangka masa singkat dan ia tidak mudah dipulihkan.

"Generasi muda jangan nak ada selera baru dan cuba parti pembangkang yang hanya akan membawa kerosakan kepada negara. Mereka harus bijak membuat perbandingan iaitu Malaysia dahulu, sebelum merdeka dan apa yang dicapai sekarang.

"Mereka harus ikhlas membuat penilaian bahawa Barisan Nasional yang memerintah selama 55 tahun telah banyak berjasa dalam memajukan Malaysia. Mereka harus membuat pertimbangan waras dan memilih siapa yang boleh memerintah negara ini menjelang PRU13 nanti," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Dr Mahathir juga mahu pemimpin veteran yang mengetahui matlamat dan pencapaian negara terus membantu dan memimpin generasi muda yang akan menentukan masa depan negara agar terus menyokong BN yang telah berjasa dalam membawa pembangunan di negara ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda hari ini mungkin tidak sependapat atau tidak puas dengan kerajaan sekarang tetapi adalah lebih baik memilih orang yang kita kenal dan tahu daripada orang yang tidak kenal. Bak pepatah Inggeris, 'Better the devil you know than the angel you don't," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyaran semua ahli Umno berganding bahu untuk memastikan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menang dalam PRU13 nanti.

Sambil mengakui bahawa Najib bukan terbaik dan ada kelemahan, beliau mahu semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka tentang baik buruknya, sebaliknya mengemblengkan tenaga untuk memastikan BN boleh mendapat majoriti dua pertiga.

"Apabila BN dah menang pada PRU13 dan tubuhkan kerajaan, kita boleh memperbetulkan kesilapan dan kesalahan demi kepentingan bersama... pada masa itulah, kita boleh tegur dan menggodam," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir kesal tindakan sesetengah pemimpin Umno demi kepentingan diri telah menyekat golongan yang berpendidikan, berbakat dan profesional menyertai parti itu.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang masuk Umno kerana mahu mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri sehingga tidak bagi orang lain masuk Umno.

"Ini penyakit yang sudah ada ketika zaman saya ... dulu doktor dan jurutera tiada dalam Pas tetapi sekarang dah ada kerana apabila mereka tidak masuk Umno, mereka masuk Pas," katanya. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger