Sokongan Kaum Cina Permatang Pauh Kembali Kepada BN - Dr Mazlan Ismail


Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Dr Mazlan Ismail percaya kaum Cina di kawasan itu sudah kembali memberi sokongan kepada BN.

Katanya keyakinan itu berdasarkan kehadiran kaum Cina pada setiap program anjuran BN yang bertambah dan rata-rata mereka memberi reaksi positif terhadap program yang dianjurkan.

"Sambutan (masyarakat Cina) sangat hebat dan saya yakin sokongan ini datang dengan penuh keikhlasan daripada mereka semua untuk melihat satu perubahan yang besar berlaku di Permatang Pauh ini.

"Saya juga yakin dengan kawan-kawan saya, pemimpin yang ada di Permatang Pauh ini telah memberikan sokongan yang sangat padu kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jalinan Mesra 1Malaysia anjuran Gerakan di Kampung Pauh Sama Gajah, dekat sini Ahad malam.

Beliau berkata semangat dan sokongan yang berterusan daripada semua pihak dapat membantu BN untuk memenangi hati kira-kira 16,000 pengundi Cina di kawasan parlimen itu.

Sementara itu, seorang penduduk yang hadir pada program itu, Teoh Soon Teik, 50, berkata BN mempunyai peluang untuk menawan Permatang Pauh pada pilihan raya umum kali ini.

Ini kerana katanya pelbagai program tranformasi yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menambat hati rakyat termasuk kaum Tionghua.

"Saya sokong Barisan Nasional...pemimpin-pemimpin semua bagus. Saya yakin BN boleh menang," kata Teoh, seorang kontraktor.

Bagi Lee Chie Jei, 50, slogan 'Ubah' yang dilaung-laungkan pakatan pembangkang sesuai dijadikan motivasi untuk berubah daripada memilih pakatan pembangkang kepada BN bagi memerintah kawasan kubu kuat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger