LEDAKAN DARI BLOGOSFERA!!
print this page
ENTRI TERKINI

#NewVillage: Lim Guan Eng Tak Faham Antara Diplomatik & Komunisme!! - @TunFaisal

SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak faham konteks hubungan diplomatik yang diadakan oleh Barisan Nasional (BN) dengan Parti Komunis China, kata Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurutnya, penubuhan sekretariat di antara Pemuda Barisan Nasional dan Liga Belia Komunis China (CYL) adalah berteraskan hubungan dan kerjasama negara, bukan kerjasama dengan pergerakan komunis Malaya.

Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu jelas tidak maklum tentang faedah yang diperolehi negara hasil hubungan yang diadakan pada 12 Oktober 2009 dalam pelbagai bidang.

"Pemimpin DAP macam Lim Guan Eng ada masalah untuk faham konteks. Konteks hubungan dengan parti teras sebuah kerajaan yang penting berbeza dengan konteks penolakan dan menyelar kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM).

"PKM bunuh rakyat (negara ini) dan lakukan sabotaj sedangkan Parti Komunis Cina tidak bunuh rakyat Malaysia dan merupakan rakan penting Malaysia dalam banyak bidang," katanya kepada Antaraposmenerusi sistem pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Justeru kata Tun Faisal, Lim melakukan provokasi dengan bertindak mempertikaikan hubungan berkenaan.

Setiausaha Agung DAP itu dalam kenyataan medianya semalam, mendesak Umno untuk tampil menjelaskan hubungan parti itu dengan Parti Komunis Cina.

Beliau merujuk kenyataan anggota exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam yang mempersoalkan bagaimana filem 'The New Village' yang didakwanya mengagungkan fahaman komunisme begitu mudah diluluskan berbanding filem ‘Tanda Putera’ yang berlatar belakangkan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Katanya lagi, Ketua Pemuda Umno pada 12 Oktober 2009 turut mengumumkan sekretariat tetap bagi mengukuhkan hubungan di antara Pemuda BN dengan CYL.

Lim juga membidas Umno yang tidak menentang tindakan kerajaan yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara komunis seperti China, Cuba dan Vietnam.

Mengulas lanjut, Tun Faisal menegaskan kerajaan BN menolak sekeras-kerasnya Parti Komunis Malaya yang melakukan kekejaman kepada rakyat berbeza dengan Parti Komunis China.

Malahan jelasnya, pada era tahun 1970-an Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussin telah mengadakan hubungan diplomatik dengan China untuk menyebarkan penolakan rakyat kepada PKM.

Ini kerana PKM jelas mengancam keselamatan rakyat ketika itu kerana melakukan kezaliman.

"Sebab apa PKM ditolak kerana keganasan, kezaliman dan ideologi dan pendekatan yang tidak sesuai dengan rakyat Malaysia dan tanah Melayu ketika itu.

"Tun Razak buat hubungan diplomatik dengan China pada tahun 70-an, untuk jelaskan pendekatan PKM yang ditolak rakyat Malaysia dan supaya China menyisihkan PKM dan tidak lagi beri dana kepada PKM," tambah beliau.

Polemik timbul apabila Pemuda Umno mahu filem 'The New Village’, yang mengisahkan penempatan semula komuniti Cina sewaktu pencerobohan komunis diharamkan.

Filem itu didakwa secara halus mengangkat PKM sebagai hero dan meletakkan Rejimen Askar Melayu dan polis yang ketika itu berkhidmat dengan British sebagai musuh dan 'orang jahat' yang perlu dihapuskan. -antarapos
0 comments

PPUM Kecam Rampasan Kuasa Di Mesir - @KhairyKj cc: @TunFaisal @UnitMediaBaru @BNYCyberTeam

Berikut adalah kenyataan media Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin
berhubung pergolakan politik di Mesir:


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam rampasan kuasa dan penahanan Presiden Mohammed Mursi. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan sahaja telah meragut nyawa, tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara pihak penyokong dan penentang kerajaan di sana.

Harus diingat bahawa Presiden Mohammed Mursi adalah seorang pemimpin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir melalui proses pilihan raya dan bukannya rusuhan jalanan. Beliau tidak sepatutnya digulingkan dengan sebegitu rupa kerana ini bukan sahaja melanggari prinsip dan amalan demokrasi tetapi juga mengkhianati amanah rakyat.

Ini adalah satu iktibar kepada seluruh masyarakat antarabangsa bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati oleh semua. Sebarang tindakan untuk menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan.Oleh itu, tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya.

Pada masa yang sama, saya mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana dan menasihati mereka agar tidak menghampiri kawasan yang berisiko tinggi. Saya juga berharap Kementerian Luar akan terus memantau pergolakan di Mesir dan membuat persiapan awal sekiranya kita terpaksa memindahkan rakyat Malaysia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
0 comments

Jerebu: PPUM Desak Indonesia Bertindak Segera!! - @KhairyKj


SHAH ALAM: Pemuda Umno mahu kerajaan Indonesia bertindak segera dan tegas bagi menangani isu jerebu akibat pembakaran hutan di negara itu.

Sehubungan itu, kata ketua pergerakan itu, pemuda Umno akan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur hari ini.

"PPUM (Pergerakan Pemuda Umno Malaysia) berpendapat kerajaan Republik Indonesia perlu bertindak tegas dalam hal ini, demi semangat kejiranan, toleransi dan kerjasama di antara negara-negara rantau Asia Tenggara," katanya.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Khairy juga mengingatkan kesediaan Malaysia membantu negara seberang itu dalam menyelesaikan masalah jerebu di rantau ini.

Menurut Khairy, Pergerakan itu juga akan mengagihkan topeng muka secara percuma dan mengadakan majlis solat istisqa (solat memohon hujan) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur esok.

"PPUM berdoa dan berharap agar tahap IPU (Indeks Pencemaran Udara) akan menunjukkan tren penurunan dalam masa terdekat ini, agar kita dapat kembali kepada persekitaran yang sihat dan selamat demi kemakmuran bersama," katanya.

Keadaan jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera menyebabkan kerajaan semalam terpaksa mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang. Manakala ratusan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Port Dickson, Kuantan dan Segamat juga diarahkan supaya tutup. -antarapos
0 comments

Pelajar Malaysia Di Luar Negara Jangan Terpedaya Pembohongan Pembangkang - PM @NajibRazak


JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.

"Sampai hari ini belum ada bukti pun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini, Ahad.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13.

Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.

Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.

"Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.

Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.

"Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.

"Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi," katanya.

Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.

"Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya.

Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.

Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.

"Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh," katanya. - BERNAMA
0 comments

Pemilihan UMNO: 146,500 Ahli Akar Umbi Terlibat

KUALA LUMPUR - Buat pertama kali dalam sejarahnya, Umno sebagai parti terbesar orang Melayu, akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi parti dengan cara yang berbeza dan unik, melalui proses demokrasi yang lebih meluas dan sekali gus menguji kematangan akar umbi parti.

Beberapa fakta berikut yang muncul setelah tujuh pindaan dibuat terhadap perlembagaan Umno yang diluluskan perwakilan pada Oktober 2009 menjadikan pemilihan kali ini menarik perhatian ramai:

* 146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 orang perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.

* Hapusnya sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.

* Syarat untuk bertanding AJK bahagian ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.

Sebelum pindaan perlembagaan parti, jawatan tertinggi parti memerlukan seseorang yang mahu bertanding terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno iaitu:

* Presiden - 30 peratus atau sokongan daripada 57 bahagian

* Timbalan Presiden - 20 peratus atau 38 bahagian

* Naib Presiden - 10 peratus atau 19 bahagian

* Anggota Majlis Tertinggi - 5 peratus atau 10 bahagian

* Ketua Pemuda - 20 peratus atau 38 bahagian

* Ketua Wwanita - 20 peratus atau 38 bahagian

* Ketua Puteri - 20 peratus atau 38 bahagian

Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah perwakilan mampu menunjukkan kematangan mereka dalam proses pemilihan kali ini?

Menurut penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, ramai yang memerhatikan sama ada dengan penghapusan kuota itu, jawatan tertinggi akan turut direbut oleh sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka layak.

"Jika itu terjadi tidakkah pemilihan Umno akan menjadi pentas bagi berhibur dan sesuka hati menawarkan diri atau mencuba nasib kalau-kalau terpilih atau ada yang ditaja oleh pihak luar yang mahu rakyat melihat Umno sebagai sebuah parti sarkas?," tanya beliau.

Ibrahim berkata banyak orang banyaklah pandangan peribadi termasuk mereka yang serius menawarkan diri setelah layak kerana sudah menjadi AJK bahagian dan mahu menempa nama dalam sejarah dengan bertanding sebagai presiden Umno atau timbalannya.

"Mudah-mudahan ini tidak akan terjadi dalam parti keramat bagi orang Melayu ini.

Namun kita harus lihat kemungkinannya kerana sekarang tiada lagi sebarang halangan apa pun," katanya, yang percaya jumlah kuota sokongan tertentu masih perlu diterapkan.

"Bagaimana pula kalau ada 100 atau 1,000 anggota mencalonkan diri.

Tidakkah menimbulkan masalah teknikal bagi jawatankuasa pemilihan? Jika ini terjadi dari mana Umno akan menggamit kekuatan dan kesepaduan sokongan kepada pucuk
pimpinan?" tambah beliau yang mengakui risau.

Mengakui bahawa pandangannya agak terlambat disuarakan, beliau percaya masih ada ruang dan masa bagi jawatankuasa pemilihan parti untuk memperkemas syarat atau peraturan tambahan yang logik untuk membolehkan penawaran diri sebagai calon.

Ibrahim berkata banyak cara lagi boleh dibuat untuk mencerminkan amalan demokrasi yang telus dan meluas dalam parti dan satu daripadanya telahpun dipersetujui iaitu membenarkan pemilihan langsung oleh 146,500 anggota.

Menarik juga untuk diperhatikan ialah adakah pindaan perlembagaan yang membolehkan anggota yang sebegitu ramai terlibat dalam pemilihan akan mampu menghapuskan secara total gejala politik wang?

Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata gejala politik wang mampu dikurangkan apabila Umno menambah jumlah perwakilan kepada 146,500 orang pada pemilihan kali ini.

"Ini selaras dengan apa yang dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun seperti lazimnya sesuatu yang baharu seperti pindaan kepada perlembagaan ini contohnya akan memerlukan masa untuk menghapuskan sepenuhnya politik wang," katanya.

Beliau berkata ia boleh menjadi langkah yang berkesan menghapus politik wang asalkan ada pemantauan yang ketat manakala jumlah perwakilan yang banyak itu juga dengan sendirinya menyukarkan pihak yang berniat melakukannya kerana pastinya tidak mampu dijangkau.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata sekali gus persepsi kroni atau nepotisme yang dilemparkan kepada Umno kini diserahkan kepada perwakilan yang akan memilih pucuk pimpinan parti.

"Sekiranya selepas pemilihan masih ada suara-suara yang menyatakan Umno mengamalkan nepotisme atau kroni, ini adalah salah perwakilan kerana mereka yang memilih langsung," katanya. - bernama
0 comments

Panasss!! Azmin Ali Terus Buka Pekung PKR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Belum pun reda kontroversi kritikan secara terbuka terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Timbalan Presidennya, Azmin Ali terus 'membuka pekung' parti itu di laman sosial Twitter.

Terbaharu, Azmin menerusi akaun Twitter miliknya mengecam ahli veteran PKR, Senator Dr. Syed Husin Ali yang terdahulu memuat naik kenyataan dipercayai menyalahkan tindakan beliau mempersoal serta mengkritik kepimpinan parti.

Syed Husin sebelum itu menyifatkan Azmin telah tersilap langkah sehingga menjejaskan kewibawaan dan kredibiliti Ahli Parlimen Gombak itu sebagai individu nombor dua parti.

"Sayang, mungkin Azmin tersilap langkah. Tindakan serta kenyataannya menjejas wibawa dan kredibiliti. Kenapa ke media? Tentulah UMNO menari gembira."

Azmin membalas tweet itu dengan menempelak Syed Husin dan 'mendedahkan' bahawa Ahli Dewan Negara itu tahu apa yang berlaku.

"Saudara tahu apa yang berlaku. Saudara juga hantar tweet serang Anwar kerana kerabat saudara tidak terpilih," tulis beliau.

Tidak terhenti di situ, Azmin terus 'menghentam' Syed Husin apabila meminta beliau berhenti daripada terus berpura-pura.

"Hentikan amalan kepura-puraan. Bila kena batang hidung sendiri, semua boleh. Kalau kena orang lain, soal kredibiliti. Tuntas!"

Beberapa hari lalu, Azmin mencuri tumpuan ramai apabila membuat kenyataan dalam Twitter yang dipercayai mengkritik pimpinan PKR termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara kenyataan beliau ialah:

"Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman. Muhasabah diri. Akui kelemahan. Maju ke hadapan. Tumpu rakyat bukan kerabat."

"Terima keputusan rakyat. Maju ke hadapan dengan dasar peduli rakyat bukan membuli rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara."

"Laungan reformasi harus bermula dengan bisikan dalam hati sendiri. Jangan heret rakyat kalau kita sendiri gagal."

Kelmarin, Azmin dalam satu sidang akhbar buat pertama kalinya secara terbuka mengakui masalah nepotisme berlaku dalam partinya sehingga mencetuskan kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor.

Pengerusi PKR Selangor itu tanpa berselindung menyalahkan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana menghantar senarai calon Menteri Besar kepada istana Selangor tanpa mendapat persetujuan dan konsensus barisan kepimpinan negeri termasuk beliau. -UM
0 comments

Ujian Poligraf Husam Musa Dan Kickdafella Tentukan Kemenangan Di Putrajaya.


Nampak semakin banyak sambutan mengenai isu ujian poligraf yang telah dinyatakan oleh saudara Syed Azidi Syed Abd Aziz ke atas calon Pakatan Rakyat dari PAS iaitu Husam Musa untuk kawasan P125 Putrajaya . Warga Putrajaya menantikan kemunculan Husam Musa untuk ujian tersebut kerana mereka tidak percaya akan tomahan yang dilemparkan oleh Kickdafella kepada calon mereka.

Sehingga petang tadi Husam Musa masih lagi gagal untuk memberikan sebarang jawapan kepada pihak yang mencabar iaitu Kickdafella untuk hadir ke ujian poligraf.Bukan sahaja Husam yang berdiam diri, bahkan semua orang kanannya juga tidak berani memberi sebarang respon atas pelawaan ujian poligraf ini.

 Husam juga seakan-akan ingin melarikan diri daripada ujian poligraf yang ingin dijalankan keatasnya apabila dia membuat satu forum ataupun sesi dialog bersama dengan Tengku Adnan calon Barisan Nasional di Putrajaya. Sebelum memulakan sesi dialog bersama Tengku Adnan, Husam hendaklah pertama sekali menghadirkan diri ke sesi ujian itu bagi memastikan apa yang bakal disampaikan adalah sesuatu yang benar.

Ujian poligraf ini adalah bertujuan untuk memastikan individu yang diuji bercakap benar tentang apa yang disampaikan olehnya. Konsep ujian poligraf adalah apabila seseorang diganggu oleh soalan, perubahan pada fisiologikal yang dapat dikesan akan timbul. Hati seseorang akan mula berdebar, pernafasannya akan menjadi cepat, dan perubahan pada tekanan darah.


Jika dilihat dari rekod sebelum ini, Husam gagal untuk menunaikan janjinya di kawasan yang pernah dimenanginya. Dari projek kambing Jamnapari hingga ke yang terbaru projek terbarunya keretapi laju dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur masih lagi gagal untuk dilaksanakan.

Janji yang ditabur gagal dilaksana mungkin  ada kekangan untuk melaksanakannya, tapi apa pula alasan yang igin diberikan oleh Husam Musa apabila gagal memberikan feedback kepada kenyataan yang dia sendiri keluarkan melalui akaun facebooknya yang menyatakan kesemua ahli surau di Percint 11 telah dilucutkan jawatan serta merta selepas membenarkan dia memberi tazkirah?


Oleh sebab itu, ujian poligraf ini hendaklah dilakukan oleh Husam Musa untuk melihat apa yang dijanjikan olehnya sebelum ini adalah satu perkara yang benar dan bukannya satu penipuan untuk mengaburi pemikiran rakyat.

Warga Putrajaya perlu tahu bagaimanakah ciri-ciri pemimpin yang mereka perlu pilih. Adakah calon yang hanya pandai menipu dan menaburkan janji-janji manis ataupun calon yang akan menunaikan setiap apa yang dijanjikan.

Untuk sumber lain kelik SINI

"Warga Putrajaya dijemput hadir ke Sesi Ujian Poligraf dan Dialog Husam Musa bersama Kickdafella Di Kelab Tasik Putrajaya"
1 comments
 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger