Jerebu: PPUM Desak Indonesia Bertindak Segera!! - @KhairyKj
SHAH ALAM: Pemuda Umno mahu kerajaan Indonesia bertindak segera dan tegas bagi menangani isu jerebu akibat pembakaran hutan di negara itu.
Sehubungan itu, kata ketua pergerakan itu, pemuda Umno akan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur hari ini.
"PPUM (Pergerakan Pemuda Umno Malaysia) berpendapat kerajaan Republik Indonesia perlu bertindak tegas dalam hal ini, demi semangat kejiranan, toleransi dan kerjasama di antara negara-negara rantau Asia Tenggara," katanya.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Khairy juga mengingatkan kesediaan Malaysia membantu negara seberang itu dalam menyelesaikan masalah jerebu di rantau ini.
Menurut Khairy, Pergerakan itu juga akan mengagihkan topeng muka secara percuma dan mengadakan majlis solat istisqa (solat memohon hujan) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur esok.
"PPUM berdoa dan berharap agar tahap IPU (Indeks Pencemaran Udara) akan menunjukkan tren penurunan dalam masa terdekat ini, agar kita dapat kembali kepada persekitaran yang sihat dan selamat demi kemakmuran bersama," katanya.
Keadaan jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera menyebabkan kerajaan semalam terpaksa mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang. Manakala ratusan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Port Dickson, Kuantan dan Segamat juga diarahkan supaya tutup. -antarapos
Labels:
PemudaUMNO
Post a Comment