LEDAKAN DARI BLOGOSFERA!!
print this page
ENTRI TERKINI
Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Pelajar Malaysia Di Luar Negara Jangan Terpedaya Pembohongan Pembangkang - PM @NajibRazak


JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.

"Sampai hari ini belum ada bukti pun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir. Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan rasional yang tak boleh fikir soal ini," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan, di sini, Ahad.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat selepas PRU13.

Perdana Menteri meminta para pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari mengundi.

Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.

"Saya sebagai Pengerusi BN menafikan dengan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.

Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.

"Kita perlu untuk PRU akan datang, BN melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.

"Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi," katanya.

Perdana Menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.

"Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya.

Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di sini di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.

Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.

"Saya sampaikan mesej ini dengan harapan berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat serasi, maka ia perlu diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh," katanya. - BERNAMA
0 comments

Pemilihan UMNO: 146,500 Ahli Akar Umbi Terlibat

KUALA LUMPUR - Buat pertama kali dalam sejarahnya, Umno sebagai parti terbesar orang Melayu, akan menyaksikan pemilihan jawatan tertinggi parti dengan cara yang berbeza dan unik, melalui proses demokrasi yang lebih meluas dan sekali gus menguji kematangan akar umbi parti.

Beberapa fakta berikut yang muncul setelah tujuh pindaan dibuat terhadap perlembagaan Umno yang diluluskan perwakilan pada Oktober 2009 menjadikan pemilihan kali ini menarik perhatian ramai:

* 146,500 anggota peringkat akar umbi akan memilih secara langsung pucuk pimpinan parti berbanding 2,500 orang perwakilan sahaja sebelum ini. Mereka juga akan memilih langsung pimpinan di bahagian masing-masing.

* Hapusnya sistem kuota yang sekali gus membuka ruang seluas-luasnya kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum bagi pertandingan mana-mana jawatan Majlis Tertinggi ialah pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian selama satu penggal.

* Syarat untuk bertanding AJK bahagian ialah telah menjadi anggota parti selama tiga tahun.

Sebelum pindaan perlembagaan parti, jawatan tertinggi parti memerlukan seseorang yang mahu bertanding terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno iaitu:

* Presiden - 30 peratus atau sokongan daripada 57 bahagian

* Timbalan Presiden - 20 peratus atau 38 bahagian

* Naib Presiden - 10 peratus atau 19 bahagian

* Anggota Majlis Tertinggi - 5 peratus atau 10 bahagian

* Ketua Pemuda - 20 peratus atau 38 bahagian

* Ketua Wwanita - 20 peratus atau 38 bahagian

* Ketua Puteri - 20 peratus atau 38 bahagian

Selain itu, untuk jawatan naib bagi ketiga-tiga sayap parti itu pula, hanya perlu mendapat sokongan sebanyak 28 bahagian atau 15 peratus.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah perwakilan mampu menunjukkan kematangan mereka dalam proses pemilihan kali ini?

Menurut penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar, ramai yang memerhatikan sama ada dengan penghapusan kuota itu, jawatan tertinggi akan turut direbut oleh sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka layak.

"Jika itu terjadi tidakkah pemilihan Umno akan menjadi pentas bagi berhibur dan sesuka hati menawarkan diri atau mencuba nasib kalau-kalau terpilih atau ada yang ditaja oleh pihak luar yang mahu rakyat melihat Umno sebagai sebuah parti sarkas?," tanya beliau.

Ibrahim berkata banyak orang banyaklah pandangan peribadi termasuk mereka yang serius menawarkan diri setelah layak kerana sudah menjadi AJK bahagian dan mahu menempa nama dalam sejarah dengan bertanding sebagai presiden Umno atau timbalannya.

"Mudah-mudahan ini tidak akan terjadi dalam parti keramat bagi orang Melayu ini.

Namun kita harus lihat kemungkinannya kerana sekarang tiada lagi sebarang halangan apa pun," katanya, yang percaya jumlah kuota sokongan tertentu masih perlu diterapkan.

"Bagaimana pula kalau ada 100 atau 1,000 anggota mencalonkan diri.

Tidakkah menimbulkan masalah teknikal bagi jawatankuasa pemilihan? Jika ini terjadi dari mana Umno akan menggamit kekuatan dan kesepaduan sokongan kepada pucuk
pimpinan?" tambah beliau yang mengakui risau.

Mengakui bahawa pandangannya agak terlambat disuarakan, beliau percaya masih ada ruang dan masa bagi jawatankuasa pemilihan parti untuk memperkemas syarat atau peraturan tambahan yang logik untuk membolehkan penawaran diri sebagai calon.

Ibrahim berkata banyak cara lagi boleh dibuat untuk mencerminkan amalan demokrasi yang telus dan meluas dalam parti dan satu daripadanya telahpun dipersetujui iaitu membenarkan pemilihan langsung oleh 146,500 anggota.

Menarik juga untuk diperhatikan ialah adakah pindaan perlembagaan yang membolehkan anggota yang sebegitu ramai terlibat dalam pemilihan akan mampu menghapuskan secara total gejala politik wang?

Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata gejala politik wang mampu dikurangkan apabila Umno menambah jumlah perwakilan kepada 146,500 orang pada pemilihan kali ini.

"Ini selaras dengan apa yang dikehendaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun seperti lazimnya sesuatu yang baharu seperti pindaan kepada perlembagaan ini contohnya akan memerlukan masa untuk menghapuskan sepenuhnya politik wang," katanya.

Beliau berkata ia boleh menjadi langkah yang berkesan menghapus politik wang asalkan ada pemantauan yang ketat manakala jumlah perwakilan yang banyak itu juga dengan sendirinya menyukarkan pihak yang berniat melakukannya kerana pastinya tidak mampu dijangkau.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata sekali gus persepsi kroni atau nepotisme yang dilemparkan kepada Umno kini diserahkan kepada perwakilan yang akan memilih pucuk pimpinan parti.

"Sekiranya selepas pemilihan masih ada suara-suara yang menyatakan Umno mengamalkan nepotisme atau kroni, ini adalah salah perwakilan kerana mereka yang memilih langsung," katanya. - bernama
0 comments

Generasi Muda Jangan Terpengaruh Dengan Dakyah Pembangkang! - Tun M

GENERASI muda hari ini harus bijak membuat penilaian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang 55 tahun mentadbir negara, kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Beliau berkata, generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan dan maju telah menganggap kemajuan negara adalah satu perkara yang biasa dan mereka juga tidak bersyukur dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan.

Sehubungan itu, beliau yang sudah hampir 67 tahun menceburi bidang politik khuatir golongan muda yang kurang pengalaman mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ada pula yang kata mahu tukar kerajaan kerana sudah diperintah BN selama 55 tahun. Ini sesuatu yang merbahaya dan kalau memberi kuasa kepada orang yang tidak baik, ia boleh merosakkan negara kita dalam jangka masa singkat dan ia tidak mudah dipulihkan.

"Generasi muda jangan nak ada selera baru dan cuba parti pembangkang yang hanya akan membawa kerosakan kepada negara. Mereka harus bijak membuat perbandingan iaitu Malaysia dahulu, sebelum merdeka dan apa yang dicapai sekarang.

"Mereka harus ikhlas membuat penilaian bahawa Barisan Nasional yang memerintah selama 55 tahun telah banyak berjasa dalam memajukan Malaysia. Mereka harus membuat pertimbangan waras dan memilih siapa yang boleh memerintah negara ini menjelang PRU13 nanti," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama anggota Kelab Veteran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Dr Mahathir juga mahu pemimpin veteran yang mengetahui matlamat dan pencapaian negara terus membantu dan memimpin generasi muda yang akan menentukan masa depan negara agar terus menyokong BN yang telah berjasa dalam membawa pembangunan di negara ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa generasi muda hari ini mungkin tidak sependapat atau tidak puas dengan kerajaan sekarang tetapi adalah lebih baik memilih orang yang kita kenal dan tahu daripada orang yang tidak kenal. Bak pepatah Inggeris, 'Better the devil you know than the angel you don't," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menyaran semua ahli Umno berganding bahu untuk memastikan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menang dalam PRU13 nanti.

Sambil mengakui bahawa Najib bukan terbaik dan ada kelemahan, beliau mahu semua ahli Umno agar tidak membuat penilaian terbuka tentang baik buruknya, sebaliknya mengemblengkan tenaga untuk memastikan BN boleh mendapat majoriti dua pertiga.

"Apabila BN dah menang pada PRU13 dan tubuhkan kerajaan, kita boleh memperbetulkan kesilapan dan kesalahan demi kepentingan bersama... pada masa itulah, kita boleh tegur dan menggodam," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir kesal tindakan sesetengah pemimpin Umno demi kepentingan diri telah menyekat golongan yang berpendidikan, berbakat dan profesional menyertai parti itu.

"Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang masuk Umno kerana mahu mendapatkan sesuatu untuk diri sendiri sehingga tidak bagi orang lain masuk Umno.

"Ini penyakit yang sudah ada ketika zaman saya ... dulu doktor dan jurutera tiada dalam Pas tetapi sekarang dah ada kerana apabila mereka tidak masuk Umno, mereka masuk Pas," katanya. - Bernama
0 comments

10 Langkah DS @NajibRazak Telah Hentikan 'Tsunami Politik'

TELUK INTAN - Tsunami politik di negara ini sudah berakhir apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pelbagai perubahan demi membela rakyat tanpa mengira kaum.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata punca tsunami politik berakhir berdasarkan 10 perkara yang dilakukan Najib antaranya program janji ditepati, transformasi, keadilan kepada semua dan hebat di pentas dunia.

"Datuk Najib ini memang telah menghentikan tsunami politik...pada 2008 kita khuatir ada tsunami politik, tetapi 2013 saya yakin ia sudah lama berhenti sejak empat tahun," katanya kepada pemberita selepas program Sepagi Bersama Rakyat di Perumahan Awam Karentina, Batak Rabit di sini, semalam.

Katanya, pencapaian yang dilakukan Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan itu sangat baik kerana ia memberi semangat dan keyakinan baharu dalam menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Justeru, beliau yakin BN boleh menang pada PRU-13 termasuk di kawasan Teluk Intan apabila rakyat tidak mengira kaum mula yakin dengan pembaharuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

"Keyakinan saya bukan berdasar kepada teori tetapi program turun padang. Saya dah buat banyak program turun padang, saya melihat bagaimana rakyat suka pada kita, rakyat datang ke program dan dengar penjelasan kita, semua ini menunjukkan tsunami politik sudah berhenti," katanya.

Katanya, kaum Cina dan India sudah kembali menyokong BN manakala sokongan masyarakat Melayu dilihat semakin bertambah.

Sementara itu, mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diminta menarik balik amanatnya, Ahmad berpendapat bahawa Presiden Pas itu tidak akan menarik balik amanat mengkafirkan Umno kerana itu menjadi perjuangan Pas yang suka mengkafirkan orang Umno.

"Pada saya ia satu kesilapan yang amat besar tidak ditarik balik amanat itu jikalau beliau (Hadi Awang) rela melihat umat Islam berpecah," katanya.

Beliau berkata, Presiden Pas itu tidak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan itu salah.

"Kalau Hadi Awang mementingkan perpaduan umat Islam, dia perlu tarik balik tetapi kalau mementingkan kepentingan politik hanya kerana kerusi, itu satu keputusan tidak wajar," katanya. - Bernama
0 comments
 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger