Kes Jenayah Catat Penurunan, Tahniah @PDRMsia @HishammuddinH2O

KUALA LUMPUR: Keyakinan orang ramai terhadap kemampuan polis menangani jenayah dijangka meningkat memandangkan jumlah kes jenayah menurun kepada 153,309 tahun lepas daripada 157,629 pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kemajuan itu adalah sebahagian daripada pencapaian program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)mengurangkan jenayah, yang menyaksikan penurunan sebanyak 4,320 kes.

"Polis terus melaksanakan usaha menaikkan imej pasukannya dan meningkatkan keyakinan orang ramai," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Jenayah dan Isu Keselamatan - Antara Persepsi dan Kenyataan' pada seminar Transformasi Keselamatan dan Hak Asasi dan Undang-undang di sini, Selasa.

Ismail berkata polis mengamalkan pendekatan berkesan dengan memberi fokus kepada penglibatan rakyat dalam program pencegahan jenayah.

NKRA mengurangkan jenayah adalah antara enam NKRA, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Julai, 2009.

Menurut Indeks Peraturan Undang-undang Projek Keadilan Dunia (WJP) 2011, inisiatif GTP mengenai pengurangan jenayah, antara lain, merupakan faktor yang meletakkan Malaysia selangkah di hadapan Amerika dalam aspek keamanan dan ketenteraman.

Laporan Tahunan WJP 2011 meletakkan Malaysia di tangga ke-12 dalam kalangan 66 negara yang diliputi penilaiannya tentang keamanan dan ketenteraman.

Sementara itu, naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye menyeru orang ramai supaya meningkatkan penyertaan mereka dalam program pencegahan jenayah kerana sikap prihatin terhadap jenayah mendorong seseorang untuk melibatkan diri dalam program pencegahannya.

Katanya objektif akhir program itu ialah menyemai budaya mencegah jenayah dalam masyarakat.

Sejajar dengan itu, kata beliau, polis perlu meningkatkan perkhidmatan kepolisan untuk orang ramai kerana cabaran paling besar bagi pasukan itu ialah meyakinkan mereka tentang pengurangan kadar jenayah dan mengatasi ketakutan mereka mengenai jenayah. - BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger