10 Langkah DS @NajibRazak Telah Hentikan 'Tsunami Politik'

TELUK INTAN - Tsunami politik di negara ini sudah berakhir apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan pelbagai perubahan demi membela rakyat tanpa mengira kaum.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata punca tsunami politik berakhir berdasarkan 10 perkara yang dilakukan Najib antaranya program janji ditepati, transformasi, keadilan kepada semua dan hebat di pentas dunia.

"Datuk Najib ini memang telah menghentikan tsunami politik...pada 2008 kita khuatir ada tsunami politik, tetapi 2013 saya yakin ia sudah lama berhenti sejak empat tahun," katanya kepada pemberita selepas program Sepagi Bersama Rakyat di Perumahan Awam Karentina, Batak Rabit di sini, semalam.

Katanya, pencapaian yang dilakukan Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun lapan bulan itu sangat baik kerana ia memberi semangat dan keyakinan baharu dalam menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Justeru, beliau yakin BN boleh menang pada PRU-13 termasuk di kawasan Teluk Intan apabila rakyat tidak mengira kaum mula yakin dengan pembaharuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

"Keyakinan saya bukan berdasar kepada teori tetapi program turun padang. Saya dah buat banyak program turun padang, saya melihat bagaimana rakyat suka pada kita, rakyat datang ke program dan dengar penjelasan kita, semua ini menunjukkan tsunami politik sudah berhenti," katanya.

Katanya, kaum Cina dan India sudah kembali menyokong BN manakala sokongan masyarakat Melayu dilihat semakin bertambah.

Sementara itu, mengenai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diminta menarik balik amanatnya, Ahmad berpendapat bahawa Presiden Pas itu tidak akan menarik balik amanat mengkafirkan Umno kerana itu menjadi perjuangan Pas yang suka mengkafirkan orang Umno.

"Pada saya ia satu kesilapan yang amat besar tidak ditarik balik amanat itu jikalau beliau (Hadi Awang) rela melihat umat Islam berpecah," katanya.

Beliau berkata, Presiden Pas itu tidak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan itu salah.

"Kalau Hadi Awang mementingkan perpaduan umat Islam, dia perlu tarik balik tetapi kalau mementingkan kepentingan politik hanya kerana kerusi, itu satu keputusan tidak wajar," katanya. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : xxxx | xxxx | xxxx
Copyright © 2011. #UMBX - All Rights Reserved
xxxx xxxx xxxx xxxx
Proudly powered by Blogger