Pages

Saturday, August 10, 2013

#PemilihanUMNO: Untuk Pengukuhan Parti, Bukan Perebutan Jawatan - @KhairyKJ #PAU13

TAPAH: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu pindaan perlembagaan parti membenarkan pemilihan terbuka jawatan kuasa peringkat bahagian, pusat serta Majlis Tertinggi (MT) Umno dijadikan semangat kepada mereka untuk terus mengukuhkan parti.

Katanya, pindaan itu tidak seharusnya menjadi lesen untuk merebut jawatan tertinggi dalam parti itu selain mahu ahli serta pemimpin Umno menjaga maruah parti.

Beliau berharap ahli parti memilih pemimpin yang layak dan mereka yang mahu bertanding pula betul-betul layak untuk kerusi atau jawatan yang dipertandingkan.

Khairy berkata, apa yang lebih penting ialah sesiapa yang menjadi calon perlu bertanding secara sihat dengan semangat ‘kekeluargaan Umno’.

“Kita (Umno) buat pindaan perlembagaan untuk wujudkan satu pemilihan parti yang lebih demokratik, telus serta mencegah politik wang. Saya harap sesiapa yang bertanding, ikutlah prinsip yang dikehendaki parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan; ADUN Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hasan; Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pemuda Umno Negeri, Khairul Azwan Harun.

Pada mesyuarat MT Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mengumumkan tarikh pemilihan jawatan MT akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober.

Lebih 150,000 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini, berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pemilihan juga tidak perlu dicemari serangan peribadi serta strategi kotor oleh mana-mana calon atau penyokongnya demi maruah serta pengukuhan parti.

No comments:

Post a Comment