Pages
▼
Tuesday, March 5, 2013
#LahadDatu: @KhairyKj Bidas Anwar Ibrahim Yang Cuba Mempolitikkan Konflik Pencerobohan
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin membidas cadangan pembangkang yang mahu mengadakan sidang parlimen tergempar bagi memperbincangkan isu pencerobohan pengikut Sultan Sulu di Lahad Datu, Sabah yang setakat ini telah mengorbankan lapan nyawa anggota keselamatan negara.
Menurut beliau, cadangan yang dilontarkan oleh pembangkang itu tidak logik kerana ia berhubung soal keselamatan negara yang sedang berhadapan dengan ancaman musuh, di mana ia perlu ditangani dengan cermat dan teliti demi keselamatan rakyat di negara ini.
“Ini adalah isu keselamatan negara di mana hari ini kita sedang menghadapi serangan bersenjata dari pihak penceroboh. Takkanlah kita nak bincang isu bagaimana untuk menangani percerobohan ini secara terbuka di Parlimen kerana ia melibatkan strategi yang melibatkan perkara-perkara sulit yang tidak boleh didedahkan secara terbuka.
“Sebagai contoh, ketika Presiden Obama merancang untuk menangkap Osama Bin Laden, beliau tidak memanggil parti lawannya untuk memperbahaskan perkara ini di Dewan Senat secara terbuka kerana ini melibatkan operasi sulit ketenteraan,” tegas beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri majlis tahlil untuk anggota keselamatan yang terkorban di Putra World Trade Center (PWTC) semalam.
Justeru itu, Khairy menyelar sikap pembangkang yang cuba mempolitik isu pencerobohan di Sabah dalam keadaan negara yang sedang menghadapi ancaman musuh, demi kepentingan politik mereka.
“Pembangkang tidak patut politikkan isu ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara. Tidak perlu panjangkan isu ini sehingga akhirnya menjadi polemik politik, sedangkan kita sedang menghadapi situasi genting dalam usaha mengatasi ancaman pencerobohan yang sedang berlaku di Sabah hari ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban di Sabah ketika berjuang mempertahankan negara dan meminta mereka bersabar dengan ujian tersebut.
Pemuda UMNO Malaysia turut memberikan sumbangan sebanyak RM 10,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima bagi membantu meringankan beban anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban.
sumber: http://brojinggo.blogspot.com/2013/03/khairy-bidas-anwar-yang-cuba-mempolitik.html
No comments:
Post a Comment