Pages

Sunday, January 27, 2013

Apa Jasa Anwar Ketika Beliau Punyai Kuasa?? - @MpKotaBelud


Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan apakah jasa Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada agama, bangsa dan negara sepanjang lebih 17 tahun Ketua Umum PKR itu menerajui Umno Barisan Nasional (BN).

Rahman berkata Anwar yang kini menjadi ketua pembangkang lantang mengkritik segala dasar yang dikemukakan kerajaan persekutuan, tetapi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlupa bahawa banyak perkara yang tidak pernah beliau lakukan ketika memiliki kuasa pentadbiran sebelum ini.

"Amat senang untuk mengkritik apabila kita tidak mempunyai kuasa, nak buat itu, nak buat ini, kritik itu, kritik ini, tetapi dia pegang kuasa dulu, kita boleh tengok apa yang beliau buat untuk orang Melayu dan juga negara.

"Kita kena ingat 1997, 1998 (semasa Anwar di dalam BN), beliau hampir memufliskan negara kita ini, ini kita tidak boleh lupakan, ini dasar dia dan cara dia (Anwar) mengaturkan ekonomi negara pada waktu itu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar bahawa Pakatan Rakyat berjaya memainkan peranan pembangkang yang baik sepanjang tempoh lima tahun ini.

Rahman juga berkata Anwar sepatutnya melihat keperibadiannya terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada pemimpin Umno BN, yang padanya sarat dengan masalah kewibawaan.

"Orang sudah tahu sangat perangai Datuk Seri Anwar, saya ingat orang Melayu cukup faham Datuk Seri Anwar ini.

"Ingat ya, kita kena ingat sejarah Datuk Seri Anwar ini, beliau bukanlah seorang pemimpin yang naik seperti biasa, kita angkat dia dalam UMNO, kita angkat dia seperti helikopter, daripada ahli biasa terus jadi ketua pemuda, kemudian jadi menteri kewangan, kemudian Timbalan Perdana Menteri, bukan sahaja beliau berada di dalam UMNO selama 18 tahun tetapi memegang jawatan-jawatan penting," katanya kepada AntaraPos ketika dihubungi tadi.

Rahman berkata Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat seringkali mengkritik kerajaan persekutuan biarpun segala dasar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk kepentingan rakyat marhaen.

"Jadi kalau dia hendak mendesak kerajaan menjadi kerajaan yang bertaraf dunia, demokrasi dan keterbukaan dan bermain secara padang yang sama rata.

"Apakah pembangkang di Malaysia ini kelas pertama di dalam dunia? Kita tengok cara mereka berpolitik, undilah saya kerana si kawan itu rasuah, si kawan itu salah guna kuasa. Dia (Anwar) sepatutnya bercakap, undilah saya kerana ini yang saya boleh buat untuk negara," katanya.

Selain itu, Rahman turut mendesak agar Anwar berhenti menggunakan politik kotor dengan menuduh Umno BN memperkayakan keluarga atau mengamalkan kronisme dalam sebarang isu yang membabitkan kepentingan awam.

"Yang saya kecewa sangat inilah, inilah tahap kemampuan Perdana Menteri Pakatan Rakyat (Anwar). Kalau begini caranya Pakatan Rakyat berfikir, saya yakin negara ini akan bankrap, dia marah...tetapi cuba kita tengok saya ingat kalau dia katakan pendidikan percuma, itu boleh dibuat tetapi kosnya apa ?

"Maka kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam sektor-sektor lain, makna ditumpukan untuk pendidikan, maknanya kos lain akan dikurangkan, jalanraya akan dikurangkan, hospital akan dikurangkan, kakitangan kerajaan mungkin akan dikurangkan kenaikan dan macam-macam lagi sebab hendak menampung janji yang telah dijanjikan dahulu," katanya.



Dalam usaha meraih sokongan rakyat, Pakatan Rakyat dilihat ghairah menabur pelbagai janji antaranya menghapuskan beberapa tol, memberikan pendidikan percuma sehingga ke universiti, menurunkan harga minyak, rangkaian wifi percuma, menurunkan harga kereta dan banyak lagi.

Hakikatnya, Pakatan Rakyat yang berjaya menawan Selangor - sebuah negeri yang terkaya dalam negara - juga gagal melaksanakan segala janji manifesto yang dibuatnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008. ANTARAPOS

No comments:

Post a Comment